Pelancongan dan Kebudayaan
Makam Kota Sayong terletak kira-kira 7 km dari Bandar Tenggara. Makam Kota Sayong bermula dari Kota Sayong yang menjadi Pusat Pemerintahan Kerajaan Negeri Johor yang ketiga antara tahun 1535-1540. Selepas Melaka ditakluki Portugis pada tahun 1511, Sultan Mahmud berundur ke Pagoh dan kemudian ke Johor dan mangkat di Kampar (Indonesia) pada tahun 1528. Putera baginda Sultan Alauddin Riayat Shah (1528-1564) telah kembali semula ke Johor dan memilih Kota Tua sebagai Pusat Pentadbiran baginda yang baru.
Namun demikian, pada tahun 1535, Armada Portugis di bawah pimpinan Estavo De Gama telah menyerang Pekan Tua dan baginda terpaksa berundur ke Sayong. Semenjak itu, Sultan Alauddin Riayat Shah menjadikan Sayong sebagai Pusat Pentadbiran. Pada tahun 1536, Portugis menyerang Kota Sayong dan berakhir dengan pemetrian Perjanjian Damai di antara kedua-dua belah pihak. Selepas Sultan Alauddin berjaya menawan Aru dan Acheh pada tahun 1540, baginda telah meninggalkan Kota Sayong dan memindahkan semula pusat pemerintahannya ke Kota Batu (Kota Tua-Johor Lama).
Kota Sayong dibina dari timbunan tanah dan berawang pada bahagian tertentu. Tembok Kota diperkukuhkan dengan susunan batu karang. Di bahagian tengah Kota terdapat batu berlubang yang dipercayai alas tiang bendera. Susunan batu karang juga digunakan untuk memagari kawasan-kawasan makam. Terdapat beberapa kawasan Makam Lama dari Batu Nisan Acheh yang dipercayai sebagai Makam Sultan, Kerabat dan Pembesar Acheh yang dikenali sebagai Makam 7, Makam 12, Makam 1 dan Makam 2 di Makam Kota Sayong.
Lagenda Kota Sayong
Di sinilah permulaan kawasan kehidupan lagenda seorang manusia yang mempunyai kekuatan luar biasa, iaitu 'Badang' yang memakan muntah hantu air yang kerapkali mencuri ikan-ikan di dalam lukah atau perangkap ikan yang dipasang oleh Badang di sekitar kawasan Sungai Sayong . Badang dilahirkan di Sayong Pinang, bukannya yang diketahui telah lahir di Singapura atau Temasik. Badang telah ditentang oleh Seri Wira Kerma dari Temasik kerana mengetahui Badang memiliki keluarbiasaan yang aneh.
Badang telah ditentang oleh Raja Kalinga 1 dari India yang menghantar ahli gusti untuk bertarung, bernama Nadi Bijaya Pikrama dan Benderang. Selepas kemenangannya itu, Badang telah berpindah ke Temasik sehingga dia meninggal dunia.